Berita Utama

Speaker terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Akan dibincangkan di Parlimen pada persidangan 18 Mei nanti

KUALA LUMPUR, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohamad Ariff, usul tersebut diterima di bawah Perkara 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan akan dibincangkan dalam Parlimen pada 18 Mei nanti.

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Selain itu, Dr Mahathir turut mengusulkan supaya Mohamad Arif dikekalkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan namun perkara itu ditolak kerana tidak memenuhi peraturan mesyuarat.

Dalam pada itu, Mohamad Ariff dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut menerima usul yang sama daripada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang memaklumkan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan daripada majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Vui Keong turut meminta supaya Parlimen dibenarkan bersidang selama lapan hari berbanding hanya satu hari sahaja kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad Arif memutuskan sebahagian usul itu ditolak dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semalam Mohamad Ariff mengesahkan menerima usul yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.

Usul itu adalah mengenai ketetapan bahawa Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti oleh ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Bagaimanapun, Mohamad Arif tidak membenarkan usul Ahli Parlimen Semporna dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

Beliau mendapati perkara tersebut adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close