Berita Utama

Ya Allah lindungi kami dari kemelut politik: Ustaz Hazizi

Seru umat Islam berdoa agar dihindari konflik perpecahan

BANGI, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Umat Islam diminta memohon perlindungan Allah SWT daripada anasir yang cuba mengganggu kedudukan politik negara ketika ini.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, ini penting bagi menghindari daripada berlakunya situasi perpecahan di negara ini yang kini berdepan dengan ancaman wabak.

“Ya Allah kami mohon perlindungan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang tak sudah-sudah berebut kuasa sejak 20 tahun lalu, memecahbelahkan umat Islam hingga melemahkan kuasa politik mereka.

“Perkenankanlah doa ini dengan keberkatan amal soleh kami di bulan Ramadan ini. Allahumma amin,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Kemelut politik kembali meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Dewan Rakyat dijangka bersidang sehari pada 18 Mei ini sebelum dijangka disambung semula pada Julai nanti.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close