Berita Utama

34 ditahan seludup ke Thailand dengan motosikal

Tak mahu jalani saringan kesihatan di pintu masuk sempadan

SONGKHLA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Gara-gara tidak mahu menjalani proses saringan kesihatan, 34 rakyat Thailand, termasuk enam kanak-kanak, ditahan kerana menyeludup masuk ke Thailand dengan menaiki motosikal melalui lorong tikus di sempadan Thailand-Malaysia.

Kesemua mereka ditahan dalam dua operasi yang menyaksikan pihak berkuasa tempatan turut merampas 18 motosikal.

Dalam operasi pertama pada awal hari ini, sejumlah 29 rakyat Thailand termasuk enam kanak-kanak yang menaiki 15 motosikal telah ditahan di sebuah hutan di Saba Yoi, Songkhla berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.

Operasi kedua menyaksikan pihak berkuasa menahan lima rakyat Thailand termasuk empat wanita dan merampas tiga motosikal di sebuah hutan di Na Thawi, Songkhla semalam.

Penolong Pegawai Daerah Saba, Yoi Ridthachart Thasajajun berkata, kesemua yang ditahan dipercayai dari kumpulan sama.

“Mereka cuba menyeludup masuk ke Thailand kerana tidak mahu melalui proses saringan kesihatan di pintu masuk sempadan.

“Kini mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin dan didenda kerana memasuki Thailand secara tidak sah,” katanya.

Thailand telah menutup kesemua sembilan pintu di sempadan dengan Malaysia bermula 23 Mac, yang merupakan antara langkah bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Bermula 18 April, Thailand telah membuka semula lima pintu sempadan Thailand-Malaysia untuk membolehkan rakyatnya yang terkandas di Malaysia pulang secara berperingkat.

Mereka yang pulang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, hanya 350 orang dibenarkan memasuki Thailand dalam sehari. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button