Berita Utama

Abdul Aziz Bari dilantik Ketua Pembangkang DUN Perak

Pelantikan itu diumumkan Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar

IPOH, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu.

Pelantikan Abdul Aziz itu diumumkan Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Pengerusi DAP Perak itu pernah menyandang jawatan sebagai exco kerajaan negeri Perak yang memegang portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dari 2018 hingga Februari lepas.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Perak ke-14 akan diadakan Selasa ini selama sehari dan dijadual dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Persidangan itu bakal menyaksikan kedudukan ADUN berubah selaras dengan jajaran politik baharu yang menyaksikan PH tumbang selepas Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan negeri.

PN Perak mendapat mandat itu berikutan sokongan 32 daripada 59 ADUN iaitu 25 (BN), Bersatu (empat) dan PAS (tiga).

Komposisi terkini DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); Parti Amanah Negara (AMANAH) (lima); Bersatu (empat); PKR (tiga); PAS (tiga); dan Bebas (tiga). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close