Berita Utama

Barangan keperluan Aidilfitri mencukupi: KPDNHEP

Akan terus pantau semua pasar raya, kedai runcit

GUA MUSANG, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan tidak berlaku pembelian panik dan barang keperluan mencukupi bagi persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan) KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali berkata, pengguna di seluruh negara jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai khabar angin berhubung barang keperluan tidak mencukupi dan berlaku kenaikan harga.

Beliau berkata, keadaan itu tidak berlaku kerana pemantauan sentiasa dilakukan dan mendapati semua barang keperluan yang dijual di pasar raya dan kedai di kawasan kampung mencukupi serta harganya yang stabil.

Katanya, penduduk di luar bandar juga tidak perlu bersusah payah mengejar masa untuk membeli barang keperluan bagi persiapan Aidilfitri di pasar raya kawasan bandar kononnya harga lebih murah walaupun sanggup bersesak.

“Harga jualan barang keperluan itu termasuk tepung gandum, telur ayam dan minyak masak sama saja di pasar raya dan kedai di kampung pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas meninjau barang keperluan yang dijual di sebuah kedai di Kampung Jerek di sini, petang ini.

Mohamed Zahari berkata, pihak penguatkuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan ke atas semua pasar raya dan kedai runcit di kampung mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kementerian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button