Berita Utama

Bawa usul tak percaya bukti Tun M gila kuasa

22 bulan PH diberi peluang sebelum terkubur akibat kerakusan sendiri

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan untuk tidak terlalu obses terhadap kuasa semata-mata sehingga sanggup membelakangkan keutamaan yang perlu diberi tumpuan pada waktu ini iaitu menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, tindakan beliau membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat sama sekali tidak membantu negara dan rakyat.

Sebaliknya, tegasnya, ia hanya merumitkan lagi keadaan dan menjejaskan usaha kerajaan memerangi wabak yang masih mengancam negara.

Bukan itu sahaja, tindakan Dr Mahathir itu juga mencetuskan risiko ketidakstabilan politik dan menjejaskan pelbagai aspek dalam pentadbiran negara.

Bimbang dengan situasi itu, Azwanddin berkata, permainan politik gila kuasa ini harus diketepikan, lebih-lebih lagi apabila Pakatan Harapan (PH) sudah diberi peluang untuk berkuasa selama 22 bulan sebelum terkubur akibat kerakusan sendiri.

“Tindakan Tun Mahathir membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri hanya menunjukkan beliau sebagai seorang pemimpin yang terlalu obses dan gila kuasa.

“Tempoh 22 tahun dan 22 bulan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sepatutnya sudah cukup dan sebaiknya beliau menghabiskan sisa-sisa hidup ini untuk beramal ibadat, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin berpengalaman, Dr Mahathir perlu sedar bahawa rakyat mahu melihat kerajaan pada hari ini memberi tumpuan tangani COVID-19 dengan berkesan. 

“Rakyat sudah muak dengan permainan politik gila kuasa semata yang menyebabkan keperluan rakyat terabai.

“Tetapi tindakannya membawa usul tidak percaya pada waktu getir ini ternyata amat mengecewakan dan langsung tidak membantu keadaan.

“Ini akhirnya akan menyebabkan rakyat hilang hormat terhadapnya sebagai seorang negarawan. Rakyat tidak mahu melihat berlakunya krisis dan ketidakstabilan politik sekali lagi angkara sikap pemimpin yang gilakan kuasa,” katanya. 

Mengulas lanjut,  Azwanddin berkata, perkara yang sepatutnya dilakukan adalah ketepikan sementara isu politik bagi memberi ruang kepada kerajaan membendung wabak COVID-19 dan menyelamatkan rakyat.

Bukan hanya Dr Mahathir, katanya, tetapi setiap ahli politik tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu meletakkan keutamaan yang sewajarnya.

“Mereka patut sedar ini bukan masa yang sesuai untuk bermain politik kerana kita sedang berdepan saat getir untuk menentukan kemenangan kita dalam perang menentang COVID-19.

“Kita tidak boleh kalah dalam peperangan ini dan usahlah diganggu usaha serta tumpuan kerajaan dalam menangani wabak COVID-19. Jadi buat Tun Mahathir, bersabarlah sehingga COVID-19 ini selesai dan jangan mengusutkan lagi situasi dengan permainan politik gila kuasa.

“Jika beliau benar-benar dahagakan kuasa, saya sarankan bekas Perdana Menteri itu untuk menunggu pilihan raya akan datang dan biarlah rakyat menentukan siapa yang layak mendapat mandat memimpin negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button