BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diluluskan, membabitkan jumlah RM1.7 bilion. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, status permohonan baharu dan rayuan BPN boleh disemak mulai hari ini melalui pautan http://bpn.hasil.gov.my.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pembayaran BPN akan dibuat secara sekali gus mulai 15 Mei bagi mereka yang layak.
“Dengan kelulusan permohonan baharu dan rayuan tersebut, jumlah penerima BPN ialah 10.6 juta, merangkumi jumlah bayaran bernilai RM11 bilion (iaitu tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion).
“Kerajaan berharap BPN ini akan memanfaatkan penerima dan meringankan beban mereka dalam tempoh yang amat mencabar ini,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa tempoh permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka dari 1 April hingga 30 April.
Ia bagi memastikan bantuan berkenaan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.