COVID-19: Jumlah kumulatif kes pulih, discaj kini 74.8 peratus
45 kes babit bukan warganegara, jumlah 6,589 kes keseluruhan

PUTRAJAYA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Jumlah kumulatif kes COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan telah didiscaj daripada wad kini mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya merekodkan 65 lagi kes pulih baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes mereka yang telah pulih sebanyak 4,929.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan 54 lagi kes baharu dengan 45 kes membabitkan bukan warganegara, menjadikan kes positif COVID-19 kini berjumlah 6,589 kes.
“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes dari luar turut dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, dengan tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 108 kes. – Bernama