Berita Utama

COVID-19: Thailand catat 4 kes baharu, 1 kematian

Setakat ini 8,000 ujian telah dijalankan di 4 wilayah

BANGKOK, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Thailand telah melaporkan empah kes baharu jangkitan COVID-19 dan satu lagi kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 3,004 kes dengan 56 kematian.

Kematian terkini membabitkan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 68 tahun dari Bangkok yang didiagnosis dijangkiti virus maut itu pada pertengahan Mac dan keadaan kesihatannya semakin merosot dengan kegagalan buah pinggang dan jangkitan dalam darah.

Daripada empat kes baharu itu, dua adalah dari wilayah selatan Yala di mana pihak berkuasa menjalankan pengesanan aktif kes susulan kadar jangkitan yang tinggi di kawasan itu yang membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 41 tahun dan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 44 tahun.

Satu kes membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 36 tahun yang merupakan kontak rapat kes yang disahkan sebelum ini dan satu lagi ialah seorang wanita rakyat Thailand berusia 28 tahun yang bekerja di Phuket, yang memiliki jumlah kedua tertinggi kes COVID-19 di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, pihak berkuasa kesihatan sedang mempergiat pengesanan aktif kes COVID-19 di negara itu.

Setakat ini, beliau berkata, kira-kira 8,000 ujian telah dijalankan di empat wilayah iaitu Bangkok, Yala, Phuket dan Krabi.

“Sejumlah 44 atau 0.55 peratus telah diuji positif COVID-19,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Thailand telah mencatat jumlah kes baharu COVID-19 yang rendah dan banyak pihak meluahkan kebimbangan berkaitan kapasiti ujian makmal di negara itu.

Ketua Pusat Kecemerlangan dalam Virologi Klinikal di Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan menafikan dakwaan bahawa jumlah kes baharu yang rendah adalah disebabkan ujian makmal yang terhad.

“Kami telah menguji lebih 3,000 kes [bagi setiap juta penduduk]. Nisbah itu adalah tidak kurang berbanding ujian yang diadakan di Malaysia dan negara lain.

“Selain itu, kami kini sedang meningkatkan kapasiti kami kerana terdapat lebih banyak makmal swasta. Makmal di Thailand sudah menguji kira-kira 40,000 sampel sejak seminggu lepas,” katanya memetik akhbar Bangkok Post.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, Thailand akan menghasilkan 800,000 baju Peralatan Perlindungan Diri (PPE), yang merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Awam dan Institut Tekstil Thailand.

Beliau berkata, pengeluaran pertama sebanyak 44,000 unit akan diserahkan kepada hospital di seluruh negara.

“PPE itu, yang diperakukan oleh Jabatan Sains Perubatan serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), boleh digunakan semula sehingga 20 kali yang akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk mengimport dari luar negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close