Berita Utama

Garis panduan solat Jumaat, berjemaah diumum lepas mesyuarat Kabinet

Ini merupakan keputusan besar kerana libatkan isu agama

PUTRAJAYA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Garis panduan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diumum selepas perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu juga perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini merupakan keputusan besar dan melibatkan isu agama. Jadi tunggu selepas Mesyuarat Kabinet buat keputusan.

Insya-Allah akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pihak hotel yang menanggung kerugian akibat peralatan bilik dirosakkan oleh mereka yang menjalani kuarantin berhak mengambil tindakan undang-undang.

“Kalau mereka (yang menjalani kuarantin) melanggar undang-undang hotel, terpulang kepada pihak hotel,” katanya ketika ditanya mengenai insiden yang berlaku di sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Sarawak, baru-baru ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pengurusan taska.

Katanya langkah itu bagi memastikan keselamatan anak-anak yang dihantar ke taska berikutan ibu bapa yang perlu kembali bekerja.

Mengenai ada dalam kalangan guru di sesetengah negeri yang telah dipanggil bertugas, beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan.

“Walaupun sekolah belum mula (dibuka semula), mungkin ada keperluan untuk guru ke sekolah masing-masing seperti menyediakan perkara berkaitan pelajaran…arahan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan jika ada sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat pendidikan daerah di tempat masing-masing,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close