Berita Utama

Gerak Malaysia: Banyak kenderaan pada hari ke-3 rentas negeri

Menerusi tinjauan aliran trafik didapati masih berjalan lancar

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Meskipun banyak kenderaan berada di lebuh raya bagi tujuan perjalanan rentas negeri melibatkan negeri Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Perlis dan Kedah hari ini, namun aliran trafik masih berjalan lancar.

Menerusi tinjauan Bernama di Pulau Pinang, kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kepala Batas hingga ke Juru, Nibong sedikit sibuk berikutan orang ramai mula bergerak pulang ke rumah masing-masing di ibu kota dan ramai memilih untuk bergerak awal pagi.

Seorang penjawat awam Mohd Azwan Ashraf Mohd Ali, 35, berkata, beliau terkandas di rumah ibunya di Kepala Batas sejak pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bersama isteri serta dua anak dan bersyukur akhirnya dapat pulang ke rumah mereka di Puchong, Selangor, hari ini dengan memulakan perjalanan seawal 8 pagi.

“Saya balik ketika cuti sekolah dan berikutan PKP kami terkandas di sini. Memang seronok dapat tinggal dengan mak ayah tetapi risau juga rumah di Puchong… lagipun saya dan isteri juga perlu masuk pejabat bermula minggu depan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sehingga 1 tengah hari ini, keadaan jalan raya berjalan lancar walaupun terdapat penambahan bilangan kenderaan berikutan orang ramai dari negeri ini mula bergerak pulang ke ibu kota.

Begitu juga di plaza Tol Ayer Keroh, Jasin dan Simpang Ampat Lebuhraya PLUS di Melaka mendapati kenderaan mula sesak sejak awal pagi tadi, namun beransur lancar dengan kenderaan mula berkurangan sekitar tengah hari.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sekatan jalan raya kira-kira 100 meter dari plaza tol itu dengan keadaan trafik bergerak lancar manakala tinjauan di beberapa kawasan rehat antaranya Kawasan Rehat dan Restoran Jejantas Ayer Keroh mendapati kawasan itu agak lengang dengan hanya beberapa kenderaan terutama kenderaan berat berhenti rehat.

Rata-rata pengguna lebuh raya PLUS yang ditemui di sini memberitahu mereka membuat perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di Johor dan Negeri Sembilan bagi melawat ibu bapa serta membawa pulang ahli keluarga.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menerusi kenyataan ringkas menasihatkan mereka yang membuat perjalanan merentas negeri hari ini supaya berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mematuhi nasihat diberikan Kementerian Kesihatan dalam mengekang pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Mat Kasim Karim berkata, 11,282 permohonan merentas negeri diterima untuk negeri Melaka menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’.

Seorang pekerja kilang Mohd Fadli Mamat, 28, dan keluarganya seramai tiga orang yang terkandas di Pahang pula memulakan perjalanan untuk pulang ke Alor Star, Kedah pada 10 pagi ini selepas terkandas di rumah kakaknya di Pekan sejak 17 Mac lalu.

“(Orang yang) paling lega dibenarkan pulang sudah pasti ibu mentua saya kerana beliau bimbang jika terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah orang (negeri lain). Ibu mentua pada awalnya mengikut kami untuk melihat negeri orang, tapi tak sangka begini jadinya,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara Naina Mohamed Abd Hamid, 75, bersyukur apabila dibenarkan pulang ke rumahnya di Slim River, Perak hari ini, selepas 54 hari menumpang di rumah saudaranya di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

Naina Mohamed berkata, beliau tiba di sini dua hari sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu, dengan menaiki bas ekspres bagi menziarahi saudaranya.

“Malangnya saya pula yang tidak lepas pulang sehingga terlalu lama berada di rumah orang. Ada masanya terasa seperti membebankan mereka pula kerana perlu menjaga makan dan minum saya, walaupun ada menyumbang setakat termampu,” katanya yang pulang dengan menyewa teksi.

Sementara itu Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga 1 tengah hari, seramai 100 orang telah merentasi tiga pintu masuk negeri ini dan angka itu dijangka bertambah kepada 500 orang pada sebelah petang dan malam.

Katanya aliran trafik berjalan lancar di tiga pintu masuk ke Perlis melibatkan tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) iaitu di Pauh, Jelempok dan Simpang Empat, manakala tinjauan Bernama mendapati rata-rata pemandu yang memulakan perjalanan hari ini memberitahu, mereka tidak mempunyai masalah dalam urusan permohonan Gerak Malaysia dan berharap perjalanan mereka selamat.

Seorang peniaga Abdul Rahman Wahab, 32, memaklumkan, dia pulang ke kampungnya di Beseri, Padang Besar pada 14 Mac lepas dan terkandas sejak hari pertama PKP yang mula berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas.

“Saya dan isteri hanya bawa baju untuk seminggu dan tidak bercadang untuk tinggal lama di kampung kerana akan pulang menyambut Aidilfitri di Perlis nanti, namun disebabkan oleh PKP kami terpaksa tinggal lama di kampung,” kata bapa kepada dua orang anak itu yang akan pulang ke Gombak Setia, Selangor.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri di Kedah Irwan Muhammad Shah Ahmad, 40, dan isterinya Sharniza Mohd Said, 40, yang terkandas di kampung di Kodiang dekat Jitra sejak 18 Mac lepas berasa lega dapat pulang ke rumah mereka di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

“Saya isi Gerak Malaysia, suami juga isi. Saya perlu pulang ke rumah sendiri di Seremban sebab atas tuntutan tempat kerja yang SOP (prosedur operasi standard) tempat kerja saya mengkehendaki saya berada di tempat tinggal sendiri sebelum 10 April (esok),” katanya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi Bernama pula berkata, setakat ini keadaan aliran trafik di negeri ini berjalan lancar dan menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close