Berita Utama

Hukuman keras kepada pemandu mabuk bukan rasis

Demi kurangkan kerosakan termasuk kehilangan nyawa

SHAH ALAM, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Tan Sri Noh Omar mendesak kerajaan menjatuhkan hukuman keras ke atas pemandu mabuk supaya di geruni peminum arak serta membuat pindaan bagi kesalahan memandu secara berbahaya di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengesa bahawa sudah sampai masa untuk mengambil beberapa tindakan ke atas pemandu mabuk bagi mengurangkan kerosakan akibat arak termasuk kehilangan nyawa.

Dr Ahmad yang mengulas isu pemandu mabuk termasuk kes yang telah meragut nyawa Koperal Safwan Muhammad Ismail berkata, tujuan meningkatkan hukuman ke atas pesalah adalah untuk mengurangkan pelaku dan ia lebih bersifat kepentingan umum bukannya bersifat rasis kepada mana-mana agama atau kaum.

“Dulu bila Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Agama Selangor suarakan isu sama, (dilihat) seolah-olah hanya untuk kepentingan orang Islam.

“Sebenarnya tidak, tapi ini kita bawa isu ini untuk kepentingan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita. Yang jadi mangsa pun tidak mengira siapa, sebab itu kita kena rasional.

“Kalau Singapura boleh hadkan minum arak dari pukul 10.30 malam sampai 7 pagi, kenapa Malaysia tidak boleh buat,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut melahirkan rasa kesal ke atas isu ini kerana perkara ini pernah di usulkan oleh Dr. Hasan ketika era pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor malah ia menjadi isu besar.

“Bukan saja Hassan Ali, dia suarakan akhirnya dia jadi mangsa. Ketika Dr Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor, isu dia melarang papan tanda jualan arak ini pada masa itu dijadikan polemik politik terutamanya DAP.

“Ia seolah-olah nak memberi gambaran bahawa kita nak menghalang hak kebebasan orang bukan Islam, itu tak betul, dari mula saya sudah tegaskan,” katanya.

Terdahulu, Muafakat Nasional Selangor telah mendesak kerajaan supaya menghentikan promosi secara terbuka yang melibatkan iklan minuman keras dan mewujudkan peraturan larangan minum arak kecuali dalam zon tertentu serta mewujudkan peraturan melindungi keluarga mangsa pemandu mabuk.

Susulan itu, Noh Omar memberi amaran kepada DAP agar tidak menjadikan tuntutan tersebut sebagai sesuatu rasis dan menekan hak bukan Islam.

“Saya nak beritahu DAP, jangan nak jadi jaguh pula macam dulu, bila Khir Toyo main isu itu, DAP jadi juara kerana pertahankan hak bukan Melayu.

“Bila Datuk Hasan Ali buat macam itu, Exco sesama Exco bergaduh dan Hasan Ali pula kena ambil tindakan.

“DAP tolong jangan mainkan isu ini sebagai rasis, saya nak beritahu kalau mabuk ini dia tak kira kaum dan rasis, mangsanya juga kita tahu siapa. Tolong…ini demi kepentingan rakyat keseluruhan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close