Berita Utama

Kluster baharu warga asing di Setia Alam

Babit pekerja pembinaan sudah jangkiti 12 warga Bangladesh

PUTRAJAYA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Satu lagi kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan pekerja bukan warga negara di Setia Alam, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Setia Alam yang dikesan pada 6 Mei itu membabitkan pekerja tapak pembinaan yang sudah menjangkiti 12 warga Bangladesh.

“KKM menerima notifikasi dari sebuah hospital swasta. Hospital berkenaan menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja yang bakal kembali bertugas dan mendapati tiga kes disahkan positif Covid-19 daripada lima pekerja yang disaring.

“Ketiga-tiga kes positif itu berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Susulan kes itu, beliau berkata, KKM menjalankan siasatan dan saringan kontak rapat bagi ketiga-tiga kes itu.

“Setakat 12 tengah hari ini, katanya, seramai 28 individu disaring dan daripada jumlah itu, 12 didapati positif Covid-19 manakala sembilan negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster Pedas yang membabitkan pekerja kilang turut menyaksikan peningkatan kes apabila seramai 28 pekerja didapati positif menjadikan jumlah keseluruhan 81 kes, setakat 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 adalah warga Nepal, Bangladesh (26), Indonesia dan Myanmar masing-masing 11 orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button