Berita Utama

KPN arah mudahkan SOP bayaran elaun RM200

Sudah arahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman kaji perkara itu

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman memudahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk bayaran elaun RM200 kepada barisan hadapan dapat disegerakan.

Abdul Hamid berkata, beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman memeriksa, mengkaji berkaitan isu selepas mendengar masalah proses pembayaran itu sejak dua minggu lalu.

Katanya, Bukit Aman dari awal sudah menyedari dakwaan segelintir anggotanya yang mengalami kesukaran untuk menuntut elaun RM200 untuk barisan hadapan.

“Susulan isu itu, saya sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman untuk memeriksa dan mengkaji perkara itu bagi mempermudahkan proses pembayaran dibuat.

“Saya diberitahu proses mengisi borang elaun ini tidak berbeza dengan amalan jabatan kerajaan lain namun saya sudah mengarahkan untuk menyegerakan proses berkenaan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Hamid mengulas dakwaan pegawai dan anggota yang bertugas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, menghadapi kesukaran mendapatkan elaun RM200.

Beliau berkata, pegawai yang ditugaskan untuk membayar elaun juga mengikuti garis panduan dan SOP yang ada yang berkaitan dengan perbelanjaan kewangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara faktor yang ditimbulkan menerusi beberapa laporan yang tular dalam laman sosial adalah terlalu banyak kerenah dan birokrasi serta kerumitan dalam mengisi pelbagai bentuk dokumen serta kelulusan dari pelbagai bahagian.

Selain itu laporan yang tular turut mempersoalkan keikhlasan pentadbiran khususnya Jabatan Pengurusan Bukit Aman dalam menyampaikan peruntukan itu sejak awal, selain mengingatkan kembali kesulitan yang dihadapi dalam semasa proses menuntutnya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button