Berita UtamaUncategorized

Lian Ker perlekeh Islam bantu MCA raih undi Cina?

Jangan tentang Islam 'membabi buta' hingga guris hati ramai pihak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara sepatutnya disandang oleh seseorang individu yang objektif dalam pemikiran dan tidak mengamalkan sikap ‘bias’.

Namun, sebaliknya yang berlaku dalam kerajaan yang baru ingin mendapat kepercayaan rakyat hari ini apabila Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker – seorang yang lantang menentang dasar-dasar Islam dan syariah – dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Lian Ker pernah mencetuskan kontroversi pada 2017 selepas mengeluarkan kenyataan bahawa MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mencapai kejayaan apabila menghalang UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) daripada membawa RUU355 melalui usul kerajaan.

Menurut beliau, kejayaan itu menunjukkan bahawa MCA masih kuat dalam memberi tekanan politik dalam BN.

Kesal dengan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Mahmud Hishamuddin Abd Rashid berkata, beliau tidak menafikan ianya kaedah MCA untuk meraih sokongan pengundi Cina, tetapi itu bukan caranya.

Lebih-lebih lagi, kebanyakan ahli politik MCA pada hakikatnya mendapat sokongan dari orang Islam, kata Mahmud.

Ekoran itu, beliau berkata, tidak sewajarnya isu-isu berkait dasar Islam ditentang tanpa fakta dan secara ‘membabi buta’ sehingga mengguris hati umat Islam.

“Jangan kerana nak meraih sokongan kaum Cina hingga jadi Islamofobia. Jangan jadi lagi teruk daripada DAP.

“Dia (Lian Ker) perlu benar-benar faham isu dan terima Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Negara ini,” katanya.

Mahmud turut mengimbas kembali pengalamannya dalam satu seminar anjuran MCA berkaitan isu RUU355.

“Banyak andaian yang dilontarkan hingga saya sendiri bertanya bolehkah kita membuat konklusi hanya berdasarkan andaian?

”Apakah penentangan terhadap RUU355 (yang tak babitkan non-Muslim) seolah-olah ingin melindungi ekonomi maksiat di negara ini? Saya ingin tanya siapa tauke-tauke premis maksiat ini?

“Bila kita nak mengangkat Mahkamah Syariah, untuk kebaikan umat Islam, mereka kata kita idealist. Hinggakan mereka pendekkan sesi soal jawab dalam seminar itu. Walhal kita cuma nak tahu kenapa non muslim rasa tergugat dan susah hati, sedangkan RUU355 itu hanya melibatkan orang Islam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mahmud menegaskan bahawa Lian Ker perlu memahami sesuatu isu sebelum menghentam dan mengambil keputusan untuk menentang dasar-dasar Islam.

“Alangkah baik dia benar-benar memahami sesuatu isu, dia kena ingat dan garap bahawa Islam adalah Agama negara Malaysia. Ini jelas termaktub dalam Perlembagaan.

“He must respect that. Jika demokrasi yang dia perjuangkan, golongan minoriti harus akur kepada majoriti tanpa ada penganiayaan. Kami akan lihat sejauh mana dia akan ‘perform’ sebagai seorang timbalan menteri portfolio perpaduan dan tidak akan teragak-agak untuk mendesak dia meletak jawatan andai dia mengulangi sikap yang sama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button