Berita Utama

Manfaat World QuranHour untuk berubah nilai akhlak

Penghayatan al-Quran beri peluang suburkan tabiat membaca

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Umat Islam diharap memanfaatkan program World #QuranHour di masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini untuk berubah kepada nilai akhlak sebagaimana ajaran al-Quran, terutamanya dalam aspek hubungan baik sesama manusia.

Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Hussamuddin Yaacub yang menyatakan perkara ini percaya, penghayatan kepada al-Quran di masa sekarang memberi peluang baik kepada umat Islam untuk menyuburkan tabiat membaca dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

“World #QuranHour, kita harap dapat melahirkan kesan kepada orang untuk sedar betapa indahnya quran dan quran adalah panduan untuk hidup dan panduan untuk mati.

“Orang Islam yang amalkan al-Quran, dengan sendirinya karekter akan berubah, nilai-nilai berubah dan akan beri kesan kepada hubungan dengan manusia, bila jadi ketua keluarga dia akan jadi yang terbaik, bila jadi ayah jadi ayah yang lebih baik, dan lebih bertanggungjawab,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama TV.

Hussamuddin berkata program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas berinteraksi dengan Al-Quran, World #QuranHour, tahun ke 5, akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan hari Rabu, 13 Mei.

Kempen ini akan bermula dari 12 tengah hari hingga 1 petang membawa misi Surah Ar-Rahman, 55: 1- 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, “Reboot Global Harmony”.

Kempen ini juga mengajak umat Islam seluruh dunia menumpukan masa sejam untuk membaca al-Quran.

“Tahun ini berbeza kerana fokus dalam rumah sendiri, ruangan pejabat, tetapi tetap kena jaga jarakan sosial. Kita nak al-Quran dihidupkan di rumah-rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata Yayasan itu telah mengedarkan 80,000 naskah wakaf al-quran kepada para petugas barisan hadapan COVID-19 di negara ini walaupun sasaran asal hanya 15,000 naskah. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close