Berita UtamaPendapat

Pendakwah kena proaktif (PKP)

Ingat, pendakwah sebenar tidak dikongkong oleh tempat atau masa

1. SEBELUM ini kau aktif menghadiri program tarbiah dan memberi ceramah, turun ke medan menyantuni warga dan menyampaikan bantuan kepada yang papa, mengembara ke sana sini dan menyebarkan risalah suci, beraktiviti lasak dengan bersungguh dan beriadah hingga kuat berpeluh

2. Kini, setelah hidup kau terbatas di penjuru rumah yang sunyi, soallah diri, apa sumbangan buat Ilahi?

3. Ketahuilah Allah s.w.t sebenarnya hanya ingin menguji kekuatan peribadi. Kau aktif kerana Dia atau kerana lensa kamera? Kau membantu kerana Dia atau kerana ingin disebut nama? Kau mengembara kerana Dia atau kerana seronok melihat dunia? Kau beriadah kerana dia atau kerana ingin berbadan sasa?

4. Jika selama ini kau aktif berdakwah kerana lensa kamera, nama, ingin melihat dunia atau ingin berbadan sasa ketahuilah kini semua itu sudah tiada lagi. Dunia seakan telah terhenti. Kau terperangkap di rumah nan sepi

5. Tapi jika niat dan perjuangan asalmu jelas untuk Ilahi, kau pasti akan terus sibuk walau duduk di rumah. Melakukan dakwah yang sama, cuma pendekatan dan method yang berbeza

6. Berceramah dan berdakwah secara atas talian, bertadarus dan menghayati Al-Quran secara berkumpulan, mendengar kuliah dan majlis ilmu maya, menelaah kitab dan ebook, mengutip derma dan sumbangan melalui orang ramai dari media sosial, bersenam secara konsisten di rumah dan banyak lagi amalan lain yang boleh mengisi masa secara optimum

7. Bahkan, peluang keemasan ini membolehkan kau melakukan lebih lagi untuk menambahkan amal ibadah khusus terutama membaca Quran dan berqiamullail, mendidik dan mentarbiah anak-anak, berbakti kepada keluarga, membaca buku dan menambah kemahiran baharu dan menyelesaikan segala urusan peribadi yang tergendala

8. Bukankah selama ini kerap kau menangisi kurangnya masa bertaqarrub kepada Allah s.w.t dan bersama keluarga lantaran kesibukan amal dakwah di medan luar sana?

9. Nah, kini segalanya di depan mata. Isilah masa dengan bijaksana. Hargai setiap saat yang tiba. Jangan lemah dan bosan dengan suasana. Bahkan kaulah pencorak cuaca. Rangka aktiviti untuk anak-anak gembira. Susun jadual dakwah yang produktif sentiasa. Tingkat kemahiran, jatidiri dan taqwa pada-Nya

10. Ingat, pendakwah sebenar tidak dikongkong oleh tempat dan masa. Kerana kita ada Allah s.w.t. Setiap masa dan tempat, matlamat kita hanya untuk membuatkan-Nya gembira. Semoga Allah s.w.t memberikan kita syurga!

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close