Berita Utama

PH lebih tamakkan kuasa berbanding bela rakyat

Tolak ahli politik gila kuasa, pastikan PH tak kembali memerintah

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – “Memang jelas pembangkang Pakatan Harapan (PH) tidak memikir atau memperjuangkan nasib rakyat, tetapi hanya ingin merebut kuasa,” demikian tegas Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan bahawa mereka telah mencapai kata sepakat untuk menolak perbezaan, sengketa dan kemelut yang dakwa mereka, demi rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu juga sebulat suara menyatakan bahawa mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang ada hari ini kerana ia ditubuhkan tanpa mendapat mandat rakyat.

Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak matang, Prof Badhrulhisham berkata, sepatutnya mereka membantu kerajaan dan rakyat yang sedang bertungkus-lumus berusaha memerangi wabak COVID-19.

Namun, malang sekali apabila ada sekelompok ahli politik yang gilakan kuasa ini sanggup mengambil apa sahaja tindakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada tanpa memikirkan kepentingan rakyat, kata beliau.

“Walaupun pernah beria-ia dahulu memohon sidang Parlimen diadakan hanya untuk membahaskan isu COVID-19 dan masalah rakyat serta negara, sekarang ianya berubah menjadi kepada membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Sudahlah selama 22 bulan memerintah dengan prestasi yang buruk dari segi pencapaian ekonomi dan lain-lain, kini mereka ingin sekali lagi berkuasa yang kesannya akan menambahkan penderitaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sikap PH itu, kata Prof Badhrulhisham, amat merugikan negara kerana jelas dapat disaksikan bahawa ia sanggup meletakkan kepentingan agenda tamak mereka berbanding daripada kepentingan rakyat. 

“Amat sayang sekali pengalaman lama mereka dalam politik tidak menjadikan mereka lebih matang dan juga tidak dijadikan pengajaran untuk membawa Malaysia kearah lebih baik lagi, tetapi lebih kepada menjadikan mereka tamak dan terdesak. 

“Di mana kepentingan rakyat dalam kamus mereka?,” soalnya. 

Beliau menegaskan, negara ketika ini amat memerlukan kerjasama semua pihak untuk keluar dari kesan wabak COVID-19 ini yang membabitkan masalah kesihatan dan ekonomi yang serius seperti kadar pengangguran meningkat, usahawan kecil dan sederhana hilang sumber pendapatan dan lain-lain.

“Langkah positif ke arah menstabilkan negara dengan memastikan wabak COVID-19 terkawal sepenuhnya, keadaan ekonomi kembali pulih, penderitaan rakyat dimin imakan, sektor pendidikan diteruskan dan lain-lain sepatutnya berada dalam minda semua ahli politik.

“… tidak kira pemerintah atau pembangkang, sebagai agenda dan keutamaan paling penting buat masa ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa rakyat untuk menilai secara bijak dan menolak ahli-ahli politik yang gila kuasa ini di samping memastikan Pakatan Harapan tidak kembali berkuasa. 

“Ahli-ahli politik seperti Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan seumpamanya patut dibersarakan dan diganti dengan pemimpin yang lebih muda dan lebih berintegriti serta berjiwa rakyat,” tegasnya.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, memaklumkan bahawa beliau menerima dua usul daripada Dr Mahathir pada 4 Mei.

Usul pertama adalah di bawah Peraturan Mesyuarat 4 untuk mengekalkan Mohamad Ariff sebagai Speaker sehingga ke akhir penggal.

Usul kedua adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27 (3) bahawa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff menolak usul pertama tetapi menerima usul kedua untuk dibawa ke persidangan pada 18 Mei nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close