Berita Utama

PKPB: 3 premis diarah tutup

Ada dalam kalangan pekerja didapati positif COVID-19

PUTRAJAYA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Tiga premis telah diarah tutup sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana ada dalam kalangan pekerja yang didapati positif COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, premis yang diarah tutup adalah sebuah kilang ayam di Negeri Sembilan, sebuah pasar raya di Selangor dan sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Jika berlaku dan ada kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja serta Kementerian Kesihatan (KKM) merasakan perlu untuk ditutup premis perniagaan itu, maka pihak kerajaan akan arahkan premis itu ditutup.

“Kita tutup untuk buat saringan ke atas pekerja dan seterusnya buat sanitasi di premis perniagaan itu,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 46,086 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB di seluruh negara.

Sebanyak 3,713 pasar raya, 3,073 restoran, 1,244 kilang, 1,705 bank, 713 terminal pengangkutan darat, 87 terminal pengangkutan air dan 111 terminal pengangkutan udara telah diperiksa.

Selain itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melibatkan 16,414 anggota juga telah memeriksa 22,741 buah kenderaan persendirian dan 1,426 kenderaan awam.

Mengenai berita palsu, Ismail Sabri berkata sehingga semalam PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah membuka 262 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19.

Daripada jumlah itu, 179 masih dalam siasatan manakala 29 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberi notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.

Beliau berkata, melalui Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sehingga kini sebanyak 265 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah dibuat kepada orang ramai oleh PRP.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari WWW.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita,” katanya.

Sehingga hari ini, Ismail Sabri berkata, 229 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 245 pada hari sebelumnya dengan 14,843 individu masih menjalani proses kuarantin wajib termasuk 454 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button