Berita Utama

PKPB: Pelanggan perlu janji temu berurusan dengan JPN

Pendaftaran kelahiran masih boleh dibuat 90 hari selepas PKP tamat

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Semua urus niaga di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dibuka sejak 4 Mei lalu, secara janji temu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, pelanggan yang ingin berurusan perlu membuat janji temu dengan menghubungi talian Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di seluruh negara, kata jabatan itu.

JPN berkata, perkhidmatan secara janji temu pada setiap hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4 petang itu adalah bagi memastikan langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dapat dipatuhi, terutamanya dari aspek penjarakan sosial.

“Memandangkan semua pejabat JPN telah beroperasi, JPN telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa pengoperasiannya dalam tempoh PKPB ini.

“Antara langkah kawalan yang diambil adalah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman serta melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemohon yang telah mendapatkan janji temu hanya dibenarkan untuk hadir seorang diri berurusan dan mematuhi masa yang ditetapkan bagi memastikan kehadiran pelanggan di pejabat pada satu-satu masa dapat dikawal sekali gus penjarakan sosial dapat dipatuhi.

“Manakala, bagi urus niaga seperti permohonan MyKad kanak-kanak 12 tahun atau upacara perkahwinan yang memerlukan lebih dari seorang hadir, pemohon akan dinasihatkan hadir dengan jumlah yang sangat minimal,” katanya.

JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terus hadir ke pejabat JPN tanpa janji temu kerana tiada jaminan perkhidmatan dapat diberikan kerana tertakluk kepada kekosongan slot.

“Sekiranya urusan tidak mustahak dan boleh ditangguhkan, pemohon juga dinasihatkan supaya hadir ke pejabat JPN selepas tempoh PKP tamat.

“Untuk makluman, pengumuman kerajaan berkaitan pendaftaran kelahiran boleh dibuat dalam tempoh 90 hari selepas PKP ditamatkan dan tiada denda dikenakan masih berkuat kuasa. Justeru, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftar kelahiran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close