Berita Utama

SPR adakan mesyuarat khas bincang PRK DUN Chini

Abu Bakar Harun meninggal dunia pada Khamis akibat serangan jantung

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 15 Mei ini, berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada Khamis lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berhubung kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 26 Fasal (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, SPR akan mengadakan PRK bagi kerusi DUN berkenaan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan dipastikan.

Katanya, mesyuarat khas yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun itu akan diadakan pada jam 9 pagi di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya.

Mohamed Elias berkata, mesyuarat akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada awal pagi Khamis lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU-11 pada 2004.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dari PKR dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, calon PAS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close