Berita Utama

Tabung COVID-19 kumpul RM40.2 juta: Ismail Sabri

Disalurkan kepada rakyat menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan

PUTRAJAYA, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Tabung COVID-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas berjaya mengumpul dana sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM40.2 juta setakat 7 Mei lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sumbangan itu telah disalurkan untuk membantu rakyat negara ini yang terkena jangkitan wabak berkenaan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Ihsan Kematian.

Dalam sidang media harian di sini, hari ini, Ismail Sabri menjelaskan Bantuan Khas Hilang Pendapatan, diberikan kepada mereka yang dirawat kerana positif COVID-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PPP).

“Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah warga Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan PPP dan diarahkan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Ismail Sabri berkata, selain itu bantuan itu juga layak dipohon oleh mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani menjalani rawatan di wad hospital ekoran COVID-19 dan akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan tidak layak menerima bantuan itu.

Menurut beliau, setakat ini seramai 94 individu telah menerima bantuan ini berjumlah RM125,700.

Bagi Bantuan Ihsan Kematian pula, sebanyak RM5,000 diberikan kepada waris mereka yang telah terkorban akibat jangkitan virus berkenaan dan mengikut rekod seramai 71 waris telahpun menerima bantuan itu berjumlah RM355,000.

Pada masa yang sama sebanyak RM25.2 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara sebagai bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat wabak itu.

Atas keprihatinan terhadap individu yang terjejas dengan jangkitan COVID-19, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac melancarkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan.

Muhyiddin berkata untuk permulaan, bantuan ihsan sebanyak RM1juta disalurkan ke dalam tabung itu bagi membantu pesakit yang tidak mempunyai pekerjaan dan terganggu kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button