Berita Utama

Jangan ada pemimpin mahupun rakyat berani leraikan ‘pasak negara’

Kedaulatan Raja-Raja, keistimewaan bangsa Melayu serta peribumi dimaktubkan dalam Perlembagaan

BANGI, 27 Muharram 1442H, Selasa – Peranan warga Malaysia untuk memahami konsep institusi Raja Berperlembagaan, amanah dipikul Raja-Raja Melayu berdaulat berkaitan agama Islam serta perpaduan bangsa mengikut Perkara 153 Perlembagaan amat dituntut.

Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir, Zainal Zainuddin berkata, institusi Raja sebenarnya penerus tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa lambang kedaulatan selaku payung mahkota negara.

“Institusi Raja mungkin pelita lama, tetapi kekal memancarkan cahaya. Sesungguhnya pelita lama itu jangan terlalu cepat ingin dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing pada zaman moden.

“Ingat, hari siang juga akan berakhir. Jangan nanti apabila senja menjelma lalu mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan ditelan kegelapan malam semata-mata kerana pelita lama tersilap buang!

“Atas sebab itu kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan bangsa Melayu serta peribumi dimeterikan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan dan bersandarkan kedaulatan watan yang dimaksudkan itu,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, kelima-lima prinsip Rukun Negara yang diasaskan selepas perbalahan kaum paling buruk, 13 Mei 1969 lalu adalah modul teras dan kerangka terbaik ke arah menyusun semula masyarakat majmuk yang diwarisi daripada British.

Beliau berkata, lebih menyerlahkan lagi isu kedaulatan Raja-Raja dan dasar keistimewaan orang Melayu serta peribumi itu tidak boleh dipinda tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja seperti dinyatakan secara tegas dan terang lagi bersuluh dalam peruntukan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, norma baharu yang dilalui kini dalam mengharungi pandemik COVID-19 juga memberi keprihatinan kepada pasak asas yang sudah terpahat kukuh menunjangi semangat dan roh Islam yang merahmati semua warga.

“Itu adalah sejarah benar kita dan itu juga warisan leluhur tradisi kita. Daripada situ kita mula berkembang biak sehingga berdiri megah hari ini membawa sinar ufuk baharu untuk warga.

“Jangan kita alpa untuk memahami erti sebuah kemerdekaan. Jangan ada lagi dalam kalangan pemimpin mahupun rakyat hari ini berani meleraikan asas leluhur yang orang tua kita bina serta pasak.

“Itulah keringat, air mata dan darah yang pernah mengalir demi pertahankan kedaulatan sebuah Malaysia tanah air kita, tempat tumpahnya darah kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button