Berita Utama

TUDM hantar pulang 19 rakyat tempatan bebas COVID-19

Mereka selesai jalani kuarantin 14 hari di Kuala Lumpur, Selangor

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan membawa pulang 19 rakyat Malaysia dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang disahkan bebas COVID-19 setelah selesai menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada penuntut universiti dan yang bekerja di luar negara itu turut menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki pesawat pengangkut A400M dan berlepas dari Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

“Menerusi penerbangan itu, TUDM menghantar mereka di tiga lokasi iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan sebelum penghantaran ke lokasi penempatan di daerah kediaman masing-masing yang diuruskan agensi di bawah kerajaan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain penghantaran pulang individu berkenaan, pesawat A400M turut melaksanakan penghantaran barang-barang bantuan alatan perubatan, barangan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) serta makanan ke Labuan, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, sehinggga kini TUDM, melalui enam penerbangan telah menghantar pulang 159 rakyat Malaysia berasal dari Labuan, Sabah serta Sarawak yang pulang dari luar negara.

Penghantaran itu adalah usaha sama melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan TUDM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close