Berita Utama

Usul undi tak percaya PM hanya masalah dalaman Bersatu

Jangan perjudi nasib rakyat demi percaturan politik peribadi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Ramadan 1441H, Sabtu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyifatkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah tindakan demi kepentingan peribadi serta keluarga, dan tiada kebaikan kepada negara apatah lagi rakyat.

Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, beliau yakin usul berkenaan hanya lebih kepada penampalan kepada krisis dalaman yang sedang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mendakwa, ia seolah-olah satu gerakan dari blok Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan blok Muhyiddin demi menguasai parti berkenaan.

“Saya tidak fikir usul itu akan membawa negara kepada yang lebih baik. Ia hanya tindakan demi kepentingan diri dan keluarga bukan rakyat serta negara.

“Kita seru mereka supaya insaf, kembalilah kepada Islam dan takut kepada Allah SWT. Kita percaya rakyat akan menentukan masa depan mereka sendiri, sebaiknya mereka tidak perjudikan nasib rakyat dan negara dalam percaturan dalaman mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sejak kemelut politik negara pada Februari lalu, Bersatu kini berdepan konflik dalaman apabila parti berkenaan menghadapi dua blok pemimpin iaitu Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Kemelut dalaman itu sering mencetuskan pertikaian keputusan di antara Presiden Bersatu, dan kedudukan Dr Mahathir sebagai pengasas serta pengerusinya.

Muhyiddin dan penyokongnya mengambil langkah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan sekarang – di mana ia ditentang oleh Dr Mahathir yang masih ‘setia’ bersama PH.

Semalam, kemelut politik kembali meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Dewan Rakyat dijangka bersidang sehari pada 18 Mei ini sebelum dijangka disambung semula pada Julai nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button