Berita Utama

4 rakan samun bengkel kereta direman

Ada beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah

SHAH ALAM, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Empat sahabat yang disyaki terlibat dalam kejadian samun sebuah bengkel kereta di Setia Alam di sini, semalam, direman selama lima hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian samun pada kira-kira pukul 4 petang itu, keempat-empat suspek lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan parang telah masuk ke bengkel berkenaan dan mengarahkan seorang pekerja dan majikan menyerahkan wang mereka.

“Suspek kemudian bergegas melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan. Menyedari kejadian berkenaan, anggota polis telah berjaya menahan dua daripada suspek di lokasi kejadian.

Dua lagi suspek yang melarikan diri kemudian berjaya ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di kediaman mereka di sekitar Klang oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut dirampas bersama suspek adalah sebuah kereta jenis Perodua Bezza, dua pasport antarabangsa, satu kad pengenalan dan tiga telefon bimbit.

Berdasarkan siasatan lanjut, Baharudin berkata, keempat-empat suspek, yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu, turut terlibat dalam satu lagi kes samun di Klang berdasarkan pasport dan kad pengenalan yang dirampas, selain beberapa rekod jenayah lampau antaranya melibatkan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button