Berita Utama

876 kes baharu di Singapura, keseluruhan 23,336

Pekerja asing tinggal di asrama mendominasi jumlah kes

SINGAPURA, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Singapura, yang mengenal pasti sembilan lagi kluster baharu semalam, hari ini mengesahkan 876 kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu setakat ini ialah 23,336.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH), data awal setakat tengah hari ini menunjukkan bahawa hanya tiga kes membabitkan warganegara atau penduduk tetap Singapura manakala baki selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Kenyataan itu menyebut bahawa MOH sedang meneliti butiran kes dan akan memberikan perkembangan terkini kemudian.

Singapura, yang melaksanakan langkah pemutus rantaian COVID-19 lebih ketat yang dijadualkan berakhir pada 1 Jun, setakat ini telah mengklasifikasikan sejumlah 1,283 sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes import dan 627 sebagai kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Sementara itu, pekerja asing yang tinggal di asrama mendominasi jumlah jangkitan keseluruhan pada Sabtu (22,460 kes) dengan menyumbang kira-kira 88.9 peratus atau 19,971 kes, menurut data terperinci yang dikeluarkan semalam.

Republik itu ketika ini telah mengenal pasti lebih 90 kluster dan yang terbesar ialah kluster Asrama S11 @ Punggol dengan 2,545 kes disahkan.

Setakat ini, sejumlah 2,296 pesakit telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan penjagaan komuniti manakala 1,124 kes masih menerima rawatan dengan 23 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu, sejumlah 19,020 kes yang mempunyai gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sebanyak 20 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan COVID-19 di sini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button