Berita Utama

Al-Quran manual rujukan ilmu sepanjang masa

Baca dan faham al-Quran, ramuan selesaikan segala masalah

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1441 Hijrah hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa umat Islam supaya menjadikan al-Quran sebagai manual rujukan ilmu sepanjang masa.

Beliau berkata, al-Quran dapat menyelesaikan pelbagai masalah serta membentuk akhlak dan keperibadian yang baik sekiranya mereka memahami kandungan tersirat dan menselarikan ia mengikut keadaan semasa.

“Masyarakat perlu ambil sisi positif kejayaan ummah dahulu yang berlandaskan ilmu dan akidah yang mendalam. Para sahabat dahulunya menggunakan al-Quran sebagai manual dan pedoman untuk apa-apa sahaja bentuk rujukan. Pembinaan sekecil-kecil sifat peribadi muslim kepada negara asasnya ada pada al-Quran.

“Semua yang ada masalah, bila lihat, baca dan faham, al-Quran itu sebenarnya adalah ramuan untuk selesaikan segala masalah. Mukjizat al-Quran nyata luar biasa kerana boleh tukar corak manusia jahiliah kepada islamiah yang mempunyai sahsiah dan peribadi unggul,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam sesi Mai Sembang, Rakan Muda (Siri 1) anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang membincangkan mengenai ‘Al-Quran dan Pembinaan Tamadun’ menerusi talian video Zoom bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Zulkifli berkata, bidang ilmu kini amat luas dan masyarakat harus menyeimbangkannya dengan melakukan amali agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

“Kerajaan mahukan golongan muda yang cemerlang dan serba tahu, ia mengikut kebijaksanaan masing-masing. Saya percaya dengan kepakaran ramai orang, kita boleh gembleng tenaga, tunjukkan ini Malaysia,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close