Berita Utama

Anak wajib hargai jasa ibu

Pengorbanan ibu boleh dibalas melalui akhlak, peribadi mulia

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Setiap anak diwajibkan untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu mereka, kata Ustazah Zakiah Ab Rahman.

Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA mengingatkan, pengorbanan ibu boleh dibalas melalui peribadi dan akhlak mulia, selain anak-anak perlu sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan mereka.

“Berbaktilah kepada ibu sementara mereka masih hidup kerana doa untuk kebahagiaan anak-anak sentiasa mengiringi hidup mereka seusai solat,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Ibu hari ini.

Pada masa sama, Ustazah Zakiah menyifatkan bahawa golongan ibu adalah guru pertama kepada setiap anak, disebabkan keberadaan mereka yang sentiasa bersama mendidik dan membimbing anak-anak untuk mentauhidkan diri kepada Allah SWT.

Katanya, golongan ibu juga berperanan mengajar akhlak dan nilai hidup, bersesuaian dengan fitrah dan naluri keibuan yang penuh dengan sifat kasih dan sayang.

“Malahan, anak-anak merasa lebih aman dan selamat berada dalam dakapan ibu yang penyayang,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa jasa ibu adalah tidak ternilai, tambahan pula mereka juga memikul tanggungjawab untuk mencari rezeki demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Katanya, ada sesetengah keadaan, terdapat ibu yang bersendirian dalam mengurus dan mendidik anak-anak kerana tiada pasangan di sisi,

“Namun mereka tetap cekal dan tabah melaksanakan tanggungjawab sehingga anak-anak tidak merasai kekurangan itu.

“Disebabkan itu, Lukman al-hakim pernah berpesan kepada anaknya, supaya berbuat baik kepada kedua ibubapa, terutama ibu yang mengandungkan mereka dalam keadaan lemah.

“Ia termasuk menyusukan dan menjaga mereka dengan baik, tanpa menafikan peranan dan tanggunjawab bapa dalam pembentukan keluarga muslim yang soleh dan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close