Berita Utama

BERJASA lancar petisyen desak Dr M bersara

Dr M sentiasa timbulkan konflik bersama bakal pengganti Perdana Menteri

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) melancarkan petisyen mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed supaya bersara dari dunia politik.

Naib Presidennya, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, perkara berkenaan penting supaya beliau tidak lagi diperkuda atau dieksploitasi oleh Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta sekutunya parti rasis dan cauvinis, DAP.

Beliau berkata, politik Malaysia menjadi tidak stabil apabila timbulnya pertelingkahan dalam parti politik utama iaitu UMNO, yang berlanjutan sehingga 20 tahun.

“Ketidakstabilan itu menjejaskan ekonomi Malaysia berbanding era sebelum 1998.

“Imej Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya ASEAN juga tidak sehebat dulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tanpa menafikan jasa Dr Mahathir yang membawa kemajuan kepada negara ini ketika menjadi Perdana Menteri ke-4, Mohd Hazizi bagaimanapun mendakwa, beliau bukan sahaja gagal melahirkan pengganti, malah sentiasa menimbulkan konflik dengan bakal penggantinya termasuk Anwar, yang berlanjutan selama lebih 20 tahun.

Beliau berkata, meskipun Dr Mahathir dan Anwar berjaya bekerjasama menjatuhkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun krisis kepimpinan negara yang timbul pada Februari dan Mac lepas adalah berpunca daripada Dr Mahathir sendiri.

Katanya, Dr Mahathir enggan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi penggantinya, selepas meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu.

“Ia gagal ditangani Dr Mahathir dengan baik sehingga menimbulkan krisis kepimpinan negara buat pertama kali dalam sejarah sejak merdeka.

“Kini Dr Mahathir mahu mengocak kepimpinan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang muncul menyelamatkan negara daripada krisis politik yang Tun sendiri puncanya. Enough is enough.

“Tun wajib bersara, agar Anwar dan DAP tiada lagi tongkat untuk pecah belahkan lagi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu,” tegasnya.

Setakat jam 12.40 tengah hari tadi, petisyen mendesak Dr Mahathir untuk bersara yang telah dilancarkan sejak semalam telah mendapat lebih 160 tandatangan.

Orang ramai yang ingin menyokong petisyen berkenaan boleh melayari laman Change.Org di https://www.change.org/p/rakyat-malaysia-tun-mahathir-wajib-bersara-politik-sekarang-agar-tidak-diperkuda-lagi-oleh-anwar-dan-dap?recruiter=878707557&utm_source=share_petition&utm_medium=facebook&utm_campaign=share_petition&recruited_by_id=03007220-6304-11e8-b45b-85166af8a5e6

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button