Berita UtamaDunia

EU perlu serius halang Israel rampas Palestin

ECCP gesa perjanjian EU-Israel dibatalkan, selain kenakan sekatan

LONDON, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Sebuah badan hak asasi menyeru Kesatuan Eropah (EU) supaya mendesak Israel membatalkan rancangan jahatnya untuk merampas sebahagian besar Tebing Barat yang diduduki.

Ini susulan badan berkenaan melihat tindakan rejim pengganas Israel ketika ini merupakan sebahagian daripada usaha kepada pembersihan etnik dan penjajahan berterusan Palestin.

Koordinasi Jawatankuasa dan Persatuan Eropah untuk Palestin (ECCP) melalui surat yang ditujukan kepada Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell pada Sabtu mendesak, kesatuan itu mengambil langkah segera kerana ia mempunyai 27 anggota yang memiliki kuasa bagi mengenakan tindakan ke atas tindakan biadab Israel.

Selain itu, ECCP turut meminta supaya Perjanjian Persatuan EU-Israel ditangguhkan, selain mengecualikan Israel dari Program Rangka Kerja EU yang dibiayai oleh dana pembayar cukai Eropah sebagai salah satu hukuman disarankan.

“Ini bukan kali pertama Israel merampas wilayah yang didudukinya. Sebelum ini Israel juga telah merampas Baitulmaqdis pada 1967 dan Tanah Golan pada 1981 yang ternyata melanggar undang-undang antarabangsa.

“Meskipun Gaza telah dijajah selama 13 tahun selain menerima pencerobohan dan serangan rejim Zionis beberapa kali di Tebing Barat, namun rakyat Palestin tetap berjuang mempertahankan negara daripada dijajah, diusir, ditindas dan ditangkap sewenang-wenangnya,” kata ECCP.

ECCP turut menegaskan bahawa, situasi penjajahan Israel tidak boleh dibiarkan berlanjutan sekiranya EU serius terhadap komitmennya mempertahankan hak asasi manusia dan undang-undang.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebelum ini mengutuk perbuatan Israel melalui beberapa resolusi namun ia tidak diendahkan apabila berterusan menindas penduduk Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button