Berita UtamaDunia

Gara-gara berebut roti, 7 maut di Afghanistan

Penunjuk perasaan dakwa bantuan makanan tak adil, berat sebelah

GRANTED, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Tujuh maut, manakala 14 lagi cedera ketika para penunjuk perasaan membantah pengedaran bantuan makanan di wilayah barat Ghor, Afghanistan, semalam.

Ahli Parlimen Ghor, Gulzaman Nayeb berkata, penunjuk perasaan berang apabila pengedaran roti didakwa tidak adil dan berat sebelah berikutan kelebihan diberi kepada individu yang mempunyai hubung kait dengan politik.

Pada masa sama, jurucakap Gabenor wilayah Ghor, Mohamed Arif Aber berkata, pasukan polis telah melepaskan tembakan apabila beberapa individu dari kalangan kira-kira 300 penunjuk perasaan bertindak ganas melempar batu, melepaskan tembakan dan menyerbu rumah Gabenor.

Mohamed Arif turut menafikan bahawa bantuan makanan berkenaan diedarkan secara tidak adil.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Independent Afghanistan (AIHRC), Shaharzad Akbar dalam laman Twitter berkata, pihaknya sedang meneliti laporan pihak polis melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan.

Media tempatan melaporkan AIHRC dibanjiri dengan aduan orang ramai bahawa bantuan makanan berkenaan diedarkan secara tidak adil.

“Kami telah berulang kali mendengar rungutan orang ramai bahawa bantuan telah disalurkan kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa tempatan,” kata AIHRC sambil menambah bahawa pihaknya sukar untuk mengesahkan perkara itu.

Kerajaan Kabul baru-baru ini memberi bantuan makanan kepada rakyat miskin melalui sumbangan roti yang disalurkan di kedai-kedai roti seluruh negara.

Insiatif berkenaan diambil susulan wabak pandemik COVID-19 yang mengakibatkan ramai rakyatnya kehilangan pekerjaan selain kenaikan harga makanan.

Angka rasmi Kementerian Kesihatan Afghanistan mencatatkan seramai 4,033 penduduk positif COVID-19 dan mengorbankan 115 yang lain, setakat semalam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close