Berita Utama

Hari terakhir rentas negeri lancar, keadaan trafik terkawal

Tiada kesesakan berlaku walaupun terdapat banyak kenderaan

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Pergerakan rentas negeri yang dibenarkan, memasuki hari keempat dan terakhir hari ini, dengan rata-rata perjalanan melibatkan pergerakan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu lancar dan trafik terkawal.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di Selangor, tiada kesesakan berlaku walaupun terdapat banyak kenderaan di beberapa lebuh raya di sekitar Shah Alam.

Tinjauan di Terminal Pengangkutan Awam Shah Alam, Terminal 17 di Shah Alam yang menjadi tumpuan mendapati orang ramai mula beratur untuk membeli tiket dan menaiki bas seawal 8.00 pagi, manakala setakat 10.30 pagi seramai 150 orang telah menaiki bas menuju destinasi masing-masing.

Pintu masuk berkenaan yang dikawal oleh kakitangan terminal berkenaan didapati mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang antaranya menetapkan supaya suhu badan diambil sebelum seseorang dibenarkan masuk selain menyediakan cecair pembasmi kuman tangan untuk kegunaan pelanggan.

Seorang pekerja swasta, Azmi Adlan, 22, berkata, beliau menggunakan peluang rentas negeri untuk pulang ke rumah keluarganya di Taiping, Perak selepas diberikan cuti tanpa gaji oleh majikannya sehingga Jun ini.

“Mungkin lepas raya nanti atau bulan depan apabila diizinkan (kerajaan) baru saya datang ke sini semula,” katanya yang bekerja dengan syarikat swasta di Subang Jaya.

Di Negeri Sembilan, tinjauan perjalanan rentas negeri hari ini mendapati keadaan aliran trafik lancar dengan tiada pertambahan jumlah kenderaan secara mendadak di kebanyakan plaza tol menuju ke arah selatan atau utara tanah air, malah kesemua laluan tol juga berfungsi dengan baik bagi kelancaran proses berkenaan.

Suri rumah Hazwani Mohd Bakhtiar, 26, yang ditemui Bernama berkata, beliau terkandas selama dua bulan di kampung suaminya di Rembau sebaik saja PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

“Berikutan itu, saya dan suami tidak dapat balik semula ke rumah kami di Semenyih, Selangor. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya, hari ini kami dibenarkan pulang ke kediaman kami sendiri,” katanya.

Di Terengganu pula, pihak polis telah meluluskan 9,000 permohonan untuk keluar dari negeri itu bermula hari ini menerusi aplikasi Gerak Malaysia.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar, pihaknya mengadakan tujuh sekatan jalan raya (SJR) iaitu dua di daerah Kemaman, satu di Hulu Terengganu dan empat di Besut.

“Bagi mereka yang melakukan pergerakan keluar masuk negeri ini, mereka perlu menjalani pemeriksaan suhu badan di mana di setiap SJR kita turut meletakkan anggota Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam Rosmardiana Malik, 36, berkata beliau dan suami Rostam Mad Zain, 43, mengambil peluang untuk pulang ke Kajang, Selangor awal pagi tadi setelah terkandas hampir dua bulan di Kampung Jelapang, Setiu berikutan PKP.

Bagi Mohd Khairul Ridzuan Pauzin, 29, pula, kebenaran merentas negeri memberi peluang untuk pulang ke Kodiang, Kedah dan mengambil isterinya Nor Busyra Abdul Rahman, 31, yang terkandas di sana untuk dibawa pulang semula ke Kuala Terengganu.

“Bagi mengelakkan daripada terlibat dalam kesesakan lalu lintas dan keletihan, saya memulakan perjalanan seawal pukul 12 tengah malam tadi dari Kuala Terengganu dan alhamdulillah perjalanan saya berjalan lancar walaupun terpaksa melalui beberapa sekatan jalan raya,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula 7 Mei lepas bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan PKP pulang ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, hasil pemantauan, jumlah trafik di atas lebuh raya kendalian PLUS sejak bermulanya rentas negeri pada 7 Mei adalah sekitar 600,000 hingga 700,000, dengan semuanya berjalan lancar. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close