Berita Utama

Idris Jusoh Pengerusi FELDA baharu

Pelantikan berkuat kuasa 1 Mei, ambil alih tugas Mohd Bakke

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi terbabit, berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

Ahli Parlimen Besut itu mengambil alih tugas Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar yakin pengalaman dan kepimpinan Idris berupaya menerus serta mempercepatkan usaha pemulihan agensi terbabit.

“Kami yakin dengan pengalaman dan kepimpinan beliau, usaha pemulihan FELDA akan diteruskan dan dipercepatkan. Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Bakke di atas segala usaha dan sumbangan beliau semasa menyandang jawatan Pengerusi.

“Beliau amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan terutamanya dalam menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih FELDA,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Idris sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan, termasuk Menteri Pengajian Tinggi, dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II dari 16 Mei 2013, selain Menteri Besar Terengganu (2004-2008), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999).

Beliau berkelulusan Ijazah Sains Sosial (ijazah kelas pertama) dari Universiti Sains Malaysia (1980) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari University of New Haven, USA (1988).

Idris juga mempunyai kelulusan Bahasa Arab dari Universiti Jordan (1993-1994) serta Pengurusan Lanjutan dari Universiti Harvard, USA (2001) dan INSEAD Perancis (2008).

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close