Berita Utama

‘Kit Siang tak pernah tunai janji undur diri dari politik’

Perjalanan politik veteran DAP hanya janji palsu, kemungkiran

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Pemimpin veteran parti tamak haloba DAP, Lim Kit Siang tidak pernah menunaikan janji untuk mengundur diri dari politik meskipun sudah banyak kali mengatakannya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada 10 Mei tahun lalu ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan, Kit Siang mengajak bertaruh mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini berikutan kenyataan saya bahawa saya tidak yakin bahawa Dr Mahathir akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

“Kit Siang berkata bahawa beliau lebih mempercayai Dr Mahathir. Sebagai taruhannya, beliau akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janjinya.

“Cabaran beliau ialah untuk saya menarik diri dari politik dan tidak bertanding dalam PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, ramalan Kit Siang meleset apabila hari ini Anwar menjadi Ketua Pembangkang sementara Dr Mahathir bertarung untuk menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Demikianlah melesetnya ramalan Kit Siang sebagai ‘supremo’ politik’ DAP. Beliau telah banyak kali berjanji akan mengundurkan diri dari politik, namun ia tidak pernah dikotakan.

“Beliau terus-terusan bertanding dalam pilihan raya seakan DAP ini tidak boleh ke mana tanpanya. Perjalanan politik beliau selalu diwarnai dengan taruhan, janji palsu dan kemungkiran. Kerana itu saya tidak suka bertaruh dengan beliau kerana saya tahu, taruhan politik beliau harganya ialah kemungkiran.

“Hari ini, saya menunggu ajakan beliau bertaruh semula. Entah apa pula cabaran beliau untuk saya kali ini,” katanya sinis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button