Berita Utama

‘Lapar’ kuasa, balas dendam bukan ajaran Islam

Politikus perlu sedar tak semua di blok kerajaan, pembangkang

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengingatkan umat Islam bahawa ‘lapar’ kepada kuasa atau niat membalas dendam bukanlah suatu yang dianjurkan oleh Islam.

Menulis di Sinar Harian hari ini, beliau berkata, membalas dendam membawa umat Islam kembali ke zaman jahiliah sedangkan sepatutnya sebagai umat yang diajar dengan ajaran mulia, mereka telah membebaskan diri daripada perangkap hasad dengki dan membalas dendam.

Katanya lagi, memang lazim dalam politik satu golongan tidak bersependapat dengan golongan yang lain, ia bukan suatu yang ganjil tetapi lumrah yang diamalkan.

“Rakyat Malaysia juga tidak janggal dengan situasi ini malah acap kali meraikannya. Namun golongan politikus mestilah sedar bahawa tidak semua orang berada sama ada dalam blok kerajaan atau pun blok pembangkang.

“Sebenarnya lebih ramai yang tidak berkecenderungan dalam mana-mana blok tetapi hanya mahu melihat negara maju aman dan damai. Janganlah hanya menggunakan parameter politik dalam menentukan sesuatu keputusan kerana tidak semestinya politik itu sahaja yang akan menggarap penyelesaian masalah ummah,” katanya.

Beliau turut berpesan bahawa Malaysia tidak akan tersasar daripada konsep bernegara dalam Islam sekiranya akur dengan perintah dan larangan Allah SWT serta RasulNya.

Ujarnya, hanya dengan cara itu, negara dapat maju dan diberkati Allah SWT.

“Politik bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Politik Islam bertujuan membina agama dengan berpolitik. Inilah sisi yang dianjurkan Islam kerana politik itu sendiri mestilah disulami dengan membangunkan agama Islam.

“Percaturan politik masih lagi dirancang pelbagai pihak sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang walaupun negara masih berdepan pandemik COVID-19.

“Ruang kebebasan ini seharusnya diambil dalam konteks membangunkan negara dan agama Islam. Malah Islam memberi penyelesaian berkaitan aspek kenegaraan dan berpolitik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close