Baru 4 pemimpin UMNO tawar diri calon Naib Presiden
Ismail Sabri belum nyata pendirian bertanding pemilihan parti
BANGI, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Berbaki dua hari lagi sebelum tarikh akhir penyerahan borang pencalonan pemilihan UMNO sesi 2023-2026, hanya empat pemimpin parti itu yang menawarkan diri bertanding calon Naib Presiden.
Sebelum ini, dua penyandang jawatan itu iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Mahdzir Khalid menawarkan diri sekali lagi untuk mempertahankan jawatan berkenaan.
Selain dua pemimpin terbabit, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjadi individu ketiga serta keempat menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden.
Setakat ini, seorang lagi penyandang Naib Presiden yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum menyatakan pendirian sama ada mahu mempertahankan jawatan atau sebaliknya.
Selain semua individu berkenaan, beberapa nama lain turut dikatakan berpotensi sebagai calon Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalinan Othman Said.
Bagaimanapun, ketiga-tiga individu itu setakat ini masih belum menghantar borang pencalonan.