Berita Utama

Negara bukan milik peribadi, perli Najib kepada ‘pihak’ tak iktiraf kerajaan PN

Adakah mereka juga tak iktiraf Perlembagaan, kuasa Agong?

BANGI, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan pihak yang tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika ada pihak yang umum mereka tak iktiraf kerajaan baharu, adakah ini bermakna mereka juga tidak iktiraf Perlembagaan negara, kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?

“Dan jika seseorang itu tak iktiraf kerajaan maka perlukah kerajaan iktirafkan mereka?” katanya menerusi akaun Facebook.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin atas dakwaan tidak mendapat mandat rakyat.

Difahamkan, Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Dalam kenyataan bersama katanya, PN tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya.

“Sebaliknya ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat. Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

“Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara,” kata keduanya.

Dalam pada itu, Najib yang masih berdepan pertuduhan di mahkamah berpandangan, tindakan sedemikian melampaui batas.

“Ini bukan negara milik peribadi sesiapa. Suka hati nak iktiraf atau tak mahu iktiraf,” katanya.

Kemelut politik makin meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Tan Sri Muhyiddin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close