Berita Utama

Penduduk PKPD Pasar Jalan Othman buat saringan COVID-19

2,600 warga asing jalani saringan, ambil masa 5 hari

PETALING JAYA, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah mula menjalani ujian saringan wabak COVID-19 pada kira-kira 4 petang ini.

Tinjauan Bernama mendapati, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan PPE telah membuat persiapan di pusat saringan seawal kira-kira 1 tengah hari tadi.

Selain itu, Bernama difahamkan terdapat kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing akan menjalani saringan itu yang dijangka mengambil masa selama lima hari.

Dalam pada itu, puluhan penduduk mula dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan COVID-19 untuk menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.

Tiga pusat saringan dibuka di tiga zon PKPD berkenaan iaitu Zon A di medan selera manakala Zon B di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh dan Zon C bersebelahan terminal bas.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman (PJO) di sini, menjadi kawasan terbaru yang dilaksanakan PKPD berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button