Berita Utama

Perak anjur Ujian Tilawah Al-Quran Remaja dalam talian

Video mestilah tulen, tidak disunting, dirakam selepas 12 Mei

IPOH, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Kerajaan negeri Perak akan menganjurkan Ujian Tilawah Al-Quran Remaja Peringkat Negeri Perak buat julung kali bermula Selasa ini sehingga 18 Mei, bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ujian tilawah bertemakan ‘Moh Kome Kite Ngaji’ terbahagi kepada kategori lelaki dan wanita itu terbuka kepada anak kelahiran Perak berumur 15 hingga 21 tahun dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,700 menanti pemenang.

“Konsep ujian ini selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan ia diadakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Peserta perlu merakam bacaan ayat al-Quran dalam bentuk video berdurasi kurang lima minit dan menghantar rakaman tersebut ke pautan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, video yang dihantar mestilah tulen dan tidak disunting serta dirakam selepas 12 Mei dengan Taranum wajib Bayyati serta Sikah dan pihak urus setia akan menghubungi peserta yang berjaya bagi mendapatkan sendiri pengesahan bacaan daripada mereka.

Katanya penganjuran ujian berkenaan bertujuan untuk mengetengahkan bakat muda dalam pembacaan al-Quran di samping memupuk semangat cintakan dan mendatangkan minat mempelajari seni bacaan kitab suci itu dalam kalangan remaja. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button