Berita Utama

PN buat laporan kekang fitnah Ngeh Koo Ham

Cuba heret kebakaran rumah tanpa berpandu bukti kukuh

BANGI, 29 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan membuat laporan polis bagi mengekang fitnah yang didakwa cuba diwujudkan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham terhadap gabungan itu, susulan insiden kebakaran di kediamannya semalam.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu berikutan kenyataan Koo Ham yang sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden di kediamannya tanpa berpandukan bukti kukuh.

“Pemuda PN mengecam kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang cuba mengaitkan punca kebakaran di kediaman beliau adalah daripada tindakan individu yang terpengaruh dengan kritikan pemimpin pembangkang berhubung kenyataan biada beliau berkenaan cadangan melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Syariah.

“Kami mengucapkan takziah kepada Ngeh Koo Ham atas insiden yang tidak diingini ini, namun ini bukan menjadi tiket bagi Ngeh Koo Ham untuk membuat tuduhan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, pemimpin DAP itu tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar ia satu bentuk serangan.

“Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan bebas. Berikan kepercayaan kepada PDRM yang kita yakin kecekapan mereka.

“Sekiranya bukti mencukupi dikenalpasti, Pemuda PN amat menyokong tindakan undang-undang terhadap pelaku terbabit kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Koo Ham kali ini seolah-olah membutakan mata terhadap kesalahannya yang lalu, apabila berulang kali menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Tidak cukupkah dengan kenyataan biadab sebelum ini sehinggakan ditambah sekali dengan persepsi jahat sebegini?

“Ngeh Koo Ham juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan, Koo Ham percaya perbuatan khianat membakar kediaman di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar berpunca daripada cadangan pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Koo Ham dilaporkan mendakwa percaya pelaku terbabit tidak bersetuju dengan cadangannya itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button