Berita Utama

PGU PDRM komited pantau perairan negara

6 penerbangan sehari dilaksanakan bagi halang kemasukan PATI

SUBANG JAYA, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Sebanyak enam penerbangan dalam sehari dilaksanakan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perairan negara selamat daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Komander (Operasi) PGU SAC Noor Sham Md Jani berkata penugasan itu yang dilaksanakan sejak 23 April lepas, berjaya mematahkan beberapa percubaan pendatang asing tanpa izin membolosi perairan negara.

“PGU sangat komited memastikan perairan negara kita dipantau sepenuhnya bagi mengelakkan ‘kluster import’ masuk perairan negara.

“Kami mengambil sikap proaktif dengan melaksanakan enam penerbangan sehari iaitu empat penerbangan pagi dan dua penerbangan malam setiap hari yang meliputi kawasan dari Langkawi, Kedah sehingga Tanjung Piai, Johor,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan melalui udara menggunakan helikopter di sekitar lebuh raya utama negara, malam tadi.

Menurut beliau, tiga jenis pesawat digunakan untuk pemantauan perairan negara sekitar Selat Melaka dan Langkawi iaitu Beechcraft King Air 350, Cessna Caravan 208 dan Agusta Westland AW139.

Noor Sham berkata pemantauan udara itu bermula awal pagi sehingga tengah malam yang setiap satu penerbangan mengambil masa tiga hingga lima jam, yang mendapati kebanyakan bot yang dinaiki pendatang asing akan cuba memasuki perairan negara sewaktu keadaan air laut pasang besar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelasnya, cubaan pendatang asing tanpa izin memasuki perairan negara berjaya dipatahkan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pasukan polis Marin.

“Kita ada mendapati beberapa percubaan pendatang asing tanpa izin ini dan buat pemantauan dengan cara ‘sighting’ awal serta beritahu pihak berkuasa sekiranya terdapat pergerakan bot asing yang mencurigakan cuba memasuki negara,” katanya.

Pada April lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujud cubaan untuk membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui ‘laluan tikus’.

Jelasnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membawa masuk pendatang tanpa izin menggunakan bot dalam tempoh pelaksanaan PKP. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close