Berita Utama

PKPD di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya

Perintah berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei depan

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Kawasan Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya, Selangor menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

“Perintah PKPD ini melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 10 Mei 2020 hingga 23 Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPD kelapan itu adalah atas nasihat Menteri Kesihatan dan ia membabitkan tiga zon:

Zon A​ melibatkan Jalan Penchala; Jalan 4/33; Jalan 4/37; Jalan 4/39; Jalan 4/41; Jalan 4/44; Jalan Terus 4/42; Jalan 4/43; Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D .
Zon B​ melibatkan Jalan 2/29; ​ Jalan 2/29A; Jalan 2/27; Jalan 2/32;​ Jalan 2/25; Jalan 2/26; Jalan 2/34; Jalan 2/34A; Jalan 2/23; Jalan Dispensary 2/38 dan​​ Jalan Pasar 1/21.
Zon C​ melibatkan Jalan Selangor; Lorong 3/57D;​ Lorong 3/57C; Jalan RIDA 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.
“ Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan terlibat, sepanjang tempoh perintah itu dikuatkuasakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close