Berita Utama

SOP solat berjemaah diperhalusi untuk perkenan Agong, raja-raja

Turut umumkan SOP tertentu untuk gereja, rumah ibadat

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sedang memperhalusi tatacara prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan solat berjemaah di masjid dilakukan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas SOP itu dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan sebelum kerajaan mengumumkan kebenaran untuk solat berjemaah.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat Tarawih dan solat lima waktu. Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik.

“Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara dan dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah,

“Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen di sini hari ini.

Muhyiddin yakin solat jemaah di masjid akan dapat dilakukan dalam masa terdekat sekali gus membolehkan umat Islam dapat menunaikan ibadah dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan kembali bersinar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengumumkan SOP tertentu untuk gereja dan rumah-rumah ibadat bagi membolehkan penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac sehingga ia dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei, kerajaan tidak membenarkan solat berjemaah termasuk solat lima waktu dan solat Jumaat dilakukan di masjid untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah sejak 13 Mac lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button