Berita Utama

Tapak pembinaan di Jalan Ampang diarah tutup

Langgar Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang di sini diarah tutup selama 30 hari kerana tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu, berkata, notis dikeluarkan menerusi Ops Pantau COVID-19 yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL tengah hari tadi.

“Siasatan mendapati tapak pembinaan itu telah menjalankan aktiviti tanpa kebenaran yang telah melanggar Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 apabila mereka membina rumah kongsi pekerja di subtingkat bawah tanah tanpa kebenaran.

“Oleh itu, mereka diminta memberhentikan sebarang aktiviti dan mengosongkan tapak pembinaan itu dalam tempoh 30 hari bermula hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, jika gagal mematuhi arahan itu, DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian daripada pihak pemaju.

Pada 3 Mei lepas, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, DBKL dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tapak pembinaan yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Ia susulan penularan wabak COVID-19 ke atas 28 pekerja asing tapak pembinaan yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan sejak 3 Mei lalu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close