Berita Utama

Terapkan kelaziman baharu ketika beriadah

Elak tempat padat, lakukan berseorangan atau dalam kumpulan kecil

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1441H, Ahad – Selepas hampir dua bulan ‘terkurung’ di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat pastinya teruja untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan di luar susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk mereka berbuat demikian.

Bagi komuniti sukan, tidak kira bergelar atlet atau tidak, mereka pastinya rindu untuk melakukan aktiviti luar supaya kekal cergas selepas hanya boleh melakukan riadah atau bersenam di rumah sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Ironinya, selepas meraikan kedatangan tahun 2020 dengan cukup bersemangat, tiada seorang pun menjangkakan beberapa bulan kemudian norma kehidupan mereka akan berubah disebabkan wabak COVID-19.

Sehingga vaksin COVID-19 belum ditemukan, normal baharu dalam kehidupan seharian dilihat sebagai solusi terbaik yang perlu dipraktikkan oleh setiap individu untuk membantu usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak penyakit berjangkit itu.

Di Malaysia, setelah kerajaan berjaya meratakan lengkungan COVID-19 menerusi pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan dengan beberapa kelonggaran yang antara lain membenarkan aktiviti sukan dan senaman.

Menyedari peranan besar yang mampu dimainkan jika rakyat dapat kekal cergas dalam memerangi pandemik itu, kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan senaman berkumpulan tanpa kontak seperti larian, badminton, berbasikal dan golf di bawah PKPB bermula 4 Mei lepas.

Ia satu keputusan yang tepat!.

Pakar perubatan sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata, aktiviti kecergasan dapat membantu menguatkan ketahanan imunisasi badan dan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu, ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.

“Sudah tentu badan yang kekal aktif akan mempunyai sistem imunisasi lebih baik. Sangat penting untuk kekal aktif tetapi kita perlu kerap mencuci tangan, memakai pelitup separuh muka serta mempraktikkan jarak sosial jika melakukannya di luar,” katanya kepada Bernama.

Dr Jasmiza menegaskan terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 ketika bersukan atau melakukan aktiviti riadah di luar rumah.

“Sekiranya mahu beriadah di luar, elakkan tempat yang padat, lakukan riadah berseorangan atau dalam kumpulan kecil. Amalkan juga penjagaan kebersihan sebelum dan selepas bersenam dan cuba elakkan menyentuh alatan senaman di tempat rekreasi awam.

“Ketika melakukan aktiviti larian atau joging, sentiasa jaga jarak dan pastikan tidak berlari terlalu rapat di belakang orang lain. Selain itu, minimumkan waktu riadah di luar, dalam satu jam dan terus pulang ke rumah untuk membersihkan badan selepas selesai,” jelas beliau.

Saranan dan nasihat itu penting kerana jika masyarakat tidak menjaga jarak sosial ketika melakukan aktiviti fizikal di luar akan membuka ruang lebih besar untuk dijangkiti COVID-19.

Ini kerana, menurut Dr Jasmiza yang juga doktor pasukan bola sepak kebangsaan, sebaran rembesan peluh lebih jauh boleh berlaku sewaktu melakukan aktiviti fizikal.

“Amalan jarak sosial harus dititikberatkan dalam sukan atau aktiviti fizikal. Sebaran cecair badan (peluh) lebih jauh boleh berlaku ketika bersenam, jadi jarak sosial itu perlu sekurang-kurangnya tiga hingga 10 meter jika melibatkan aktiviti larian dan sebagainya,” jelas Dr Jasmiza yang juga bekas pemain ragbi kebangsaan.

Menurut Dr Jasmiza, pelbagai aktiviti fizikal boleh dilakukan di rumah sekiranya masih bimbang tentang keselamatan diri jika berada di kawasan terbuka.

“Perasaan was-was itu memang perlu ada selagi kes jangkitan COVID-19 masih lagi berlaku. Jika begitu, yang terbaik adalah beriadah di rumah. Banyak aktiviti boleh dilakukan seperti tabata, senaman aerobik, latihan meliputi aspek kardiovaskular (jantung) dan latihan rintangan,” jelasnya.

Memandangkan tiada jangka masa mengenai bila krisis COVID-19 berakhir, beliau menasihatkan setiap warga sukan supaya bersedia untuk menyesuaikan serta mendisiplinkan diri dengan normal baharu ketika bersukan terutamanya dari aspek jarak sosial.

Dalam pada itu, penyerang pasukan PJ City FC, Mohd Safee Sali menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan mengenai aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti fizikal di luar sambil menyifatkan amalan jarak sosial adalah tanggungjawab yang harus dipikul setiap individu.

“Kerajaan beri kelonggaran di bawah PKPB tetapi kita sebagai rakyat harus memainkan peranan. Walaupun boleh beriadah kita kena kekalkan jarak. Jarak sosial itu amat penting kerana ketika ini belum ada vaksin untuk COVID-19. Lebih baik kita mencegah daripada merawat,” jelasnya.

Bekas penyerang skuad Harimau Malaya berusia 36 tahun itu berkata, PKP yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini termasuk PKPB boleh memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku sekiranya tidak diurus dengan baik.

Sebagai pemain profesional, beliau yang turut terkena tempias kesan pandemik COVID-19 berjaya mengekalkan emosi dengan melakukan aktiviti fizikal secara bersendirian dan bersama keluarga bagi mewujudkan persekitaran yang positif.

“Memang situasi ini tidak pernah dialami sesiapa pun dan sudah pasti ada yang emosinya terjejas. Satu kelegaan bagi saya sebagai pemain profesional kerana sekurang-kurangnya kita boleh beriadah sendirian di luar dengan berlari untuk kekalkan stamina dan tidak hanya terperap di rumah.

“Selain itu, saya cuba wujudkan suasana sihat dan positif di rumah dengan meluangkan masa bersama keluarga, ada kalanya kami melakukan aktiviti fizikal bersama di rumah. Apabila kita melihat sesuatu yang positif, ia akan mempengaruhi emosi kita untuk kekal positif,” tambah beliau.

Pensyarah Kanan Unit Pakar Kesejahteraan dan Kaunseling (PKPK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai ketika dihubungi Bernama baru-baru ini berkata, rakyat Malaysia harus mengamalkan pemakanan sihat, bersenam di rumah dan berhubung dengan orang lain melalui media sosial ketika PKP.

Menurut beliau, ia adalah langkah bagi mengatasi masalah kesihatan mental disebabkan perasaan bimbang, risau, takut dan cemas terhadap kesan COVID-19 mahupun PKP.

Berdasarkan tinjauan Bernama sepanjang minggu ini, jumlah rakyat Malaysia yang melakukan aktiviti riadah di luar rumah seperti berlari dan berbasikal adalah sedikit berbanding sebelum pelaksanaan PKP terutama pada sebelah malam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button