Berita Utama

Jaga mulut, jangan celupar! Razali beri amaran pada Fahmi

Jangan semberono tuduh Muhyiddin sebar berita palsu

BANGI, 1 Syaaban 1445, Ahad – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menempelak Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil apabila menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebarkan berita palsu.

Ia susulan Presiden Bersatu itu mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Razali berkata, Muhyiddin adalah seorang yang sangat dihormati, berprinsip, berintegriti, benar dan berani selain pernah memegang beberapa jawatan penting di negara ini.

Muhyiddin juga bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar serta beberapa portfolio Menteri Kabinet sementara Fahmi sekadar berani atas kuasa menteri setahun jagung, katanya.

“Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar!

“Jangan semberono menuduh ikut sedap mulut terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Fahmi berkata, kenyataan Muhyiddin berhubung keputusan mahkamah itu adalah tidak benar.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan Muhyiddin bahawa susulan keputusan itu, beberapa perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan.

“Muhyiddin sebar berita palsu,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali yang yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menegaskan, kenyataan tegas dan berani dalam mempertahankan hukum serta agama Islam tidak akan sesekali dibiarkan begitu sahaja.

Selain itu katanya, Fahmi sepatutnya dituduh dan bertanggungjawab mengenai maklumat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bocor serta disiarkan lebih awal oleh media Singapura.

Razali dengan tegas mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu inkuiri atau tribunal dan memanggil Fahmi untuk menjawab mengenai kebocoran rahsia negara.

“Jelas ini satu elemen kesalahan berkait rahsia besar negara. Menteri Komunikasi perlu bertanggungjawab dan melepaskan jawatan serta-merta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button