Berita Utama

4,300 helai tudung gagal diseludup

Anggaran rampasan bernilai RM78,380 diserah kepada kastam

KOTA BHARU, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Pasukan Polis Marin (PPM) mengagalkan cubaan menyeludup masuk 4,300 helai tudung jenis bersulam dan bermanik dari Thailand bernilai RM71,380 dari sebuah kereta di kawasan sebuah rumah kosong dekat Kampung Simpangan, Tumpat, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, ASP Mohd Rudzuan Ahmad berkata, kesemua kain tudung itu ditemui di dalam kereta Proton Wira berhampiran rumah berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan enam anggota PPM yang sedang menjalankan Ops COVID-19 SHILED, membuat intipan pada jam 1 tengah hari semalam.

“Apabila tiba di kawasan sebuah rumah kosong yang tidak berpenghuni itu, anggota pasukan menemui sebuah kereta Proton Wira dan setelah diperiksa, mereka menemui beberapa bungkusan mengandungi kain tudung.

“Pihak kami menunggu selama 30 minit di situ namun tiada pemilik yang datang menuntut bungkusan berkenaan,” katanya, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, barangan yang dirampas adalah 3,956 helai kain tudung bersulam bernilai RM59,340 serta 344 helai kain tudung bersulam dan bermanik bernilai RM12,040.

Turut dirampas adalah kereta Proton Wira bernilai RM7,000 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu.

Semua rampasan terbabit yang dianggarkan bernilai RM78,380 diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada ada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close