Berita Utama

6 premis milik warga asing disita

Premis tiada lesen, alat perniagaan dihantar ke Stor Sitaan DBKL

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Sebanyak enam premis perniagaan dikendalikan warga asing tanpa kebenaran telah ditutup dan disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, DBKL memaklumkan bahawa operasi itu dijalankan membabitkan empat lokasi di sekitar ibu negara iaitu di Jalan Dwi Tasik, Bandar Tun Razak; serta Jalan Horley, Jalan Khoo Teik Ee dan Jalan Walter Grenier, Bukit Bintang.

Penutupan serta-merta dan sitaan membabitkan sebuah premis mencuci kenderaan dan lima kedai runcit serta barangan basah.

Dalam hantaran sama, DBKL berkata, tindakan berkenaan diambil selepas pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak mempunyai lesen sah daripada DBKL, selain dikendalikan oleh warga asing.

“Kesemua peralatan perniagaan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, bagi tujuan proses dokumentasi.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut peruntukan dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Katanya, tindakan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing tidak mengambil kesempatan atas perkara berkenaan.

Rabu lalu, DBKL menyenaraikan 23 jenis aktiviti perniagaan dilarang dikendalikan syarikat dan warga asing.

Ia sejajar usaha untuk mengurangkan kesan kebanjiran hingga tidak terkawal golongan itu dalam sektor peruncitan dan perdagangan di sekitar ibu negara.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close