Berita Utama

Lelaki bakar rumah sendiri, berang ditegur isteri kerana mabuk

Polis buru suspek, ada 5 rekod kesalahan lampau berkait kes dadah

LUMUT, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Gara-gara tidak puas hati selepas ditegur isteri kerana mabuk, seorang lelaki bertindak membakar rumah sendiri di Taman Hijau, dekat Sitiawan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, bagaimanapun, dalam kejadian jam 11.45 malam itu, lelaki berusia 40-an tersebut melarikan diri ketika api sedang marak dan pihak polis kini sedang memburu suspek.

Beliau berkata, semasa pihaknya sampai ke tempat kejadian, rumah tersebut sedang terbakar dan pihak bomba berjaya memadam kebakaran tanpa sebarang kemalangan jiwa.

“Berdasarkan keterangan isteri suspek, suspek baru sampai ke rumah dalam keadaan sangat mabuk sebelum isterinya menegur suspek kerana membuat bising ketika jirannya sedang tidur.

“Suspek tidak berpuas hati dan memarahi isterinya. Suspek berang dan memandu kenderaannya jenis Nissan X-Trail lalu melanggar rumah jiran sebelum masuk dan membakar rumahnya sebelum melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nor Omar berkata, pemeriksaan pihak bomba mendapati hampir 50 peratus bahagian dalaman rumah dan perabot hangus terbakar serta rosak dan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM18,000.

“Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis pula menjumpai sepucuk pistol tiruan yang berkarat dan sedikit terbakar di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu suspek dan hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close